• Laman Utama
  • Awam
  • BERITA
  • Program Mahabbah Ramadan himpun 250 warga agensi Kementerian Komunikasi

Program Mahabbah Ramadan himpun 250 warga agensi Kementerian Komunikasi

ANGKASAPURI, 12 Mac – PUSPANITA Cawangan Kementerian Komunikasi (PCKK) melalui Biro Pendidikan dan Keagamaan, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) menganjurkan Program Mahabbah Ramadan: Majlis Tadarus dan Khatam al-Quran di Masjid Muhammadi, Angkasapuri, hari ini.

Pengerusi PUSPANITA Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Datin Hazimah Samin berkata seramai 250 peserta yang terdiri daripada enam agensi di bawah Kementerian Komunikasi menyertai program berkenaan.

Beliau berkata antara agensi terlibat ialah RTM, Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN) dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Hari ini kita berhimpun untuk menunaikan solat tasbih serta mengadakan majlis khatam al-Quran. Pada masa sama, ahli PUSPANITA turut menghadiri ceramah bertajuk ‘Ya Rabb, Terimalah Taubatku’ di Masjid Muhammadi,” katanya kepada media selepas program itu.

Beliau berkata penganjuran program sedemikian diharap dapat mengeratkan ukhuwah dalam kalangan warga kementerian selain meningkatkan penghayatan terhadap keberkatan Ramadan.

Program yang diadakan setiap tahun itu bertujuan memperkasakan budaya pengimarahan Ramadan melalui aktiviti keagamaan yang memberi manfaat kepada warga kerja serta menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mendekati al-Quran dan menghayati nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian.