Sidang Kemuncak ASEAN: Penganjuran Berjaya, Dapat Liputan Meluas - Fahmi
SEPANG, 28 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil menyifatkan penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berlangsung di Kuala Lumpur sebagai amat berjaya.
Fahmi, yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, berkata sidang kemuncak yang berlangsung sejak Isnin itu turut mendapat liputan meluas daripada media tempatan dan antarabangsa.
“Alhamdullilah, saya lihat Sidang Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC) Ke-2 dan Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China telah berlangsung dengan jayanya.
“Rata-rata kita lihat pandangan sama ada khalayak umum dan media antarabangsa menunjukkan bahawa penganjuran sidang kemuncak ini berjaya,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Terdahulu, beliau mengucapkan selamat jalan kepada Timbalan Perdana Menteri untuk Hubungan Antarabangsa dan Hal Ehwal Kerjasama Oman Sayyid Asaad bin Tarik al Said serta delegasi yang berlepas pulang dari Kompleks Bunga Raya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2.33 petang.
Fahmi berkata penganjuran sidang kemuncak berkenaan turut membuktikan rantau Asia Tenggara boleh memainkan peranan strategik dalam aspek pelaburan serta isu berkaitan.
“Kita tahu banyak negara anggota yang mempunyai pandangan tersendiri mengenai satu-satu isu tetapi bawah payung ASEAN, kita dapat pastikan rantau Asia Tenggara ini kekal stabil (sekali gus) menjadi destinasi bagi pelabur dan pelancong dan ini satu perkara yang sangat baik serta positif,” katanya.
Selain itu, beliau berkata kejayaan ASEAN-GCC dan ASEAN-GCC-China jelas menunjukkan ASEAN boleh memainkan peranan untuk menjadi penghubung antara pelbagai benua.