PUTRAJAYA, 27 Mei -- Akta Keselamatan Dalam Talian, diyakini antara penyelesaian ke arah jaminan keselamatan dan keakuran platform dalam talian yang lebih berkesan.
Jelas Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, ia bertujuan menangani perkembangan salahlaku penyebaran serta perkongsian kandungan media dan interaksi sosial menerusi platform atau aplikasi dalam talian yang jelik dan tidak sesuai, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.
"Saya risau, kerana tatkala kita memberi penegasan, membangunkan modul-modul, pergi ke sekolah-sekolah...tetapi saya tak pasti sama ada mesej itu benar-benar sampai."
"Saya kesal kerana kita berusaha bersungguh-sungguh tetapi rupa-rupanya ada pempengaruh yang tidak faham. Mungkin perlu ada program khusus untuk mereka."
Mengulangi kebimbangannya, Datuk Fahmi berharap penguatkuasaan akta itu dapat memastikan penyedia serta pengguna platform media sosial lebih faham, patuh dan akur serta tidak menyalahgunakan platform tersebut termasuk aplikasi WhatsApp dan Telegram sewenang-wenangnya.
"Saya sangat risau bila pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyatakan bahawa mereka sedang membuat pemantauan dan dijangka ataupun dalam pemantauan mereka ada beberapa individu lain yang turut terlibat dalam aktiviti yang terkutuk ini."
"Maka, saya pohon supaya pasukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berikan kerjasama kepada pihak PDRM untuk mengesan aktiviti-aktiviti seumpamanya. Jangan sehingga sesuatu perkara yang tidak diingini berlaku, barulah kita mengambil tindakan."
Akta baharu yang dijangka dapat dikuat kuasa dalam tempoh terdekat, memberi kuasa optimum kepada penguatkuasa berkaitan.
Sekali gus, memperkukuh jaminan keselamatan platform dalam talian secara lebih menyeluruh.
"Dan Akta Keselamatan Dalam Talian ini bakal memberi kuasa baru kepada kementerian melalui MCMC, untuk pastikan platform-platform media sosial lebih patuh dan akur dalam menjamin keselamatan dalam talian dalam platform mereka termasuklah kita perlu lebih selamat daripada jenayah scam, judi dalam talian, buli siber dan juga pedofilia ataupun CSAM: Child Sexual Abuse Material."
Datuk Fahmi berucap pada majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi Mei 2025.
Beliau turut merasmikan nama baharu bangunan Kementerian Komunikasi yang telah dipinda daripada Kompleks Kementerian Komunikasi kepada Menara Komunikasi sebagai simbol keterhubungan, kekuatan teknologi dan aspirasi bangsa menuju kemajuan dalam bidang komunikasi.